BELAGA, 13 Julai : Seramai 680 penduduk hilang tempat tinggal selepas rumah panjang 86 pintu, Uma Sambop yang terletak kira-kira 80 Kilometer dari sini musnah dalam kebakaran pada petang Selasa.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Sarawak, Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 3.31 petang.
Seramai 10 anggota bomba dari BBP Belaga mengambil masa 1 jam 20 minit untuk tiba di lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRV dan lori Hicom.
“Setibanya pasukan BBP Belaga di lokasi kejadian pada jam 4.52 petang mendapati api telah memusnahkan keseluruhan empat blok Uma Sambop yang merupakan rumah panjang jenis tidak kekal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ujarnya, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Asap turut hadir membantu dengan kekuatan 13 orang di mana mereka telah bertindak memulakan operasi pemadaman menggunakan dengan kaedah ‘fire break’ untuk menggelakkan api merebak ke bangunan Sekolah Kebangsaan Sambop yang terletak bersebelahan.
Katanya, pemadaman dijalankan menggunakan sumber air terbuka dari Sungai Belaga dan tangki simpanan penduduk.
Kebakaran tersebut mengakibatkan Uma Sambop terbakar 100 peratus dengan anggaran keluasan 300 x 800 kaki persegi.
“Akibat musibah itu, semua penghuni rumah panjang berkenaan tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka kerana api terlalu cepat merebak,” kata Wan Kamarudin.
Bagaimanapun, katanya kebakaran tersebut tidak menyebabkan sebarang kecederaan mahupun kehilangan jiwa.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak penyiasatan kebakaran JBPM Zon 5 Sarawak. – TVS