KOTA SAMARAHAN, 13 Julai: Sektor pertanian perlu dipertingkat dengan penggunaan teknologi terkini bagi menarik minat golongan belia.
Menjadikan Singapura sebagai contoh terbaik, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh yakin Sarawak mampu berdiri setanding dengan Republik itu dalam bidang pertanian jika penggunaan teknologi diperluaskan dalam sektor pertanian.
“Kita perlu mengambil perhatian tentang minat kaum belia untuk berkecimpung dalam arena pertanian melalui penggunaan teknologi kerana generasi masa kini lebih cenderung dengan penggunaannya dalam semua perkara.
“Saya baru pulang dari Singapura dan saya berasa kagum melihat negara itu, walaupun mempunyai tanah yang terhad untuk aktiviti pertanian, tetapi mereka telah dapat menarik minat belia dengan melibatkan teknologi yang begitu canggih,” katanya ketika hadir merasmikan Program Jum Register Bisnes (REGISTA) di sini,hari ini
Ujar Malcolm, dengan kepelbagaian internet kebendaan (IoT), pertanian pintar serta konsep pertanian menegak, beliau percaya, golongan belia lebih arif dalam penggunaan teknologi tersebut untuk menguruskan tanaman mereka.
Malah, katanya lagi, beliau turut yakin Sarawak mampu menjadi pengeksport makanan petanian terbesar di Malaysia jika lebih ramai golongan belia berkecimpung dalam sektor petanian. – TVS