Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Faizal Tahir dan Tuku Kame’ antara yang bakal hangatkan pentas Sambutan Hari Sarawak 2022 di Sibu

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 13 Julai : Faizal Tahir dan kumpulan Tuku Kame adalah antara barisan artis ternama yang bakal menghangatkan pentas Stadium Tertutup Sibu, pada 22 Julai nanti bersempena sambutan Hari Sarawak 2022.

Artis-artis tempatan seperti Ricky Andrewson, Claudia Geres, Gabriel Fairuz Louis, Firdaus Materang, Valarie Thiam dan Chien juga akan turut serta menghiburkan pengunjung ketika hari sambutan itu nanti.

Selain itu, pengisian hari sambutan juga akan dimeriahkan lagi dengan persembahan teater muzikal, tayangan video khas dan tarian yang pastinya akan merancakkan lagi sambutan tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kesemua acara tersebut disusun atur oleh Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) selaku penganjur utama.

“Antara acara tumpuan utama adalah persembahan teater muzikal. Teater muzikal ini menyingkap kisah warna warni, pahit manis kehidupan, kesepaduan dan keharmonian rakyat Sarawak.

“Acara seterusnya pula melibatkan lagu khas Hari Sarawak 2022 ‘Dirgahayu Sarawak’. Muzik bersifat universal tanpa mengira sempadan waktu dan latar. Melalui muzik disampaikan mesej kemanusiaan, kecintaan dan keharmonian. Muzik juga mampu menyatukan.

“Bagi tujuan itu, sebuah lagu patriotik khas dicipta hasil karya daripada Sharnaz Saberi (Okestra Prodigi) dengan tujuan untuk menyentuh jiwa rakyat Sarawak dan seterusnya membangkitkan semangat cintakan Sarawak dalam kalangan rakyat Sarawak,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Fatimah berkata, terdapat juga satu video khas yang bakal ditayangkan sempena Hari Sarawak 2022, yang berjudul ‘The Lost Kingdom of Sarawak.’

“‘The Lost Kingdom of Sarawak’ merupakan permulaan peradaban dan ketamadunan bangsa Sarawak yang diwarisi sehingga kita mampu berkerajaan sendiri pada tanggal 22 Julai 1963 setelah sekian lama di bawah pemerintahan kolonial. Video ini akan memaparkan transisi Sarawak ke arah Sarawak moden pada masa sekarang,” jelasnya.

Sejarah Sarawak tambahnya, sering diperkatakan hanya bermula ketika zaman pemerintahan Kerajaan Brunei dan Pemerintahan Keluarga Brooke selama 100 tahun di bumi Sarawak yang dikenali sebagai Sarawak Kingdom.

“Namun hakikatnya ada lima Kerajaan Kuno Sarawak suatu waktu dahulu. Kerajaan-kerajaan kuno ini adalah Kerajaan Negeri Santubong, Kerajaan Negeri Samarahan-Sadong, Kerajaan Negeri Kalaka, Kerajaan Negeri Saribas dan Kerajaan Negeri Malano” tegasnya.

Menyentuh mengenai acara persembahan tarian, Fatimah berkata, ia melibatkan persembahan ‘Thousand Hand, Thousand Hope’ yang memaparkan tentang harapan rakyat Sarawak terhadap kepimpinan negeri.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat memberitahu, jumlah pengunjung yang dibenarkan untuk menghadiri program tersebut adalah mengikut kapasiti stadium iaitu 1,200 orang.

“Selain itu, pihak penganjur juga akan menyediakan skrin di Dataran Tuanku Bujang untuk membolehkan orang ramai yang tidak berpeluang hadir menyaksikan kemeriahan sambutan tersebut,” katanya.

Persembahan utama sambutan pada malam itu turut akan disiarkan secara langsung oleh TVS dan juga boleh ikuti menerusi Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan