KUCHING, 13 Julai: Delegasi kerajaan Sarawak menyertai Persidangan Pengguna Esri 2022 di Pusat Konvensyen San Diego, California yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Persidangan yang bertemakan “GIS-Mapping Common Ground” itu berlangsung dari 11 sehingga 15 Julai 2022 dan dihadiri sekitar 15,000 perwakilan dari seluruh dunia.
Memetik kenyataan media Jabatan Tanah dan Survei Sarawak pada Rabu, penyertaan tersebut dapat membantu untuk menanda aras transformasi digital Sarawak dan mempelajari amalan terbaik dan teknologi geospatial terkini dalam pasaran.
Ahli delegasi berpeluang untuk menghadiri Forum Eksekutif Kerajaan Kebangsaan yang merupakan acara khas yang menghimpunkan eksekutif dan pengurus kanan pihak berkuasa data geospatial negara, termasuk pemetaan negara, carta, pentadbiran tanah, kadaster dan organisasi statistik di mana pemimpin berkongsi kisah kejayaan dan pengalaman mereka dalam menyahut cabaran baharu dan berkembang dalam bidang ini.
Mereka turut diberi kesempatan untuk melawat Ekspo Esri bagi mempelajari dan mendalami teknologi yang berguna untuk rujukan masa depan serta transformasi berterusan dalam LASIS Generasi Seterusnya, Pemetaan Utiliti, Perancangan Bandar dan Pengurusan Mineral.
Selain itu, pertemuan dengan Esri Malaysia turut diadakan bagi menghuraikan penggunaan teknologi GIS, khususnya mengenai kestabilan tanah, pemetaan mineral, kelestarian hutan, pelan induk pengedaran gas, perubahan iklim, pelancongan, pembangunan bakat.
Delegasi turut disertai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Perancangan Bandar (MUDeNR), Datu Len Talif Salleh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd. Naroden Majais, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak, Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak (SSMU), Michael Ronnie Langgong, Pemangku Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood dan pegawai kanan kerajaan Sarawak. -TVS