KUALA LUMPUR, 10 Julai : Lima termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tipu tawaran pakej haji dan visa yang tidak wujud membabitkan hampir 400 bakal jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah dalam kenyataan malam tadi berkata kesemua suspek warga tempatan berumur lingkungan 28 hingga 50 tahun itu ditahan setelah polis menerima 18 laporan kes penipuan pakej haji melibatkan kerugian RM683,500 setakat ini.
Menurutnya, satu laporan terbaharu berkenaan dakwaan penipuan pakej haji itu diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju pada 7 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ashari Abu berkata siasatan awal mendapati pengadu dalam laporan terbaharu itu mendakwa telah berurusan dengan suspek dari sebuah agensi pelancongan di Taman Danau Kota, Setapak dan telah membayar sebanyak RM35,000 ke akaun bank milik agensi pelancongan berkenaan.
Bagaimanapun agensi tersebut sering menunda tarikh penerbangan ke Makkah dari tarikh asal yang ditetapkan.
“Pada 7 Julai, mangsa telah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mendapati tiada sebarang tempahan tiket penerbangan ke Makkah dibuat atas nama mereka.
“Agensi berkenaan juga tidak membuat sebarang pemakluman malahan tiada wakil tampil memberi penjelasan berkaitan permasalahan dialami mangsa,” katanya.
Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA ekoran ditipu sebuah agensi pelancongan yang dipercayai menggunakan visa furada dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji. – TVS