KUALA LUMPUR, 9 Julai : Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan kejayaan fasa pertama Pelan Perdana musim Haji 1443 Hijrah apabila tiada sebarang insiden dalam kalangan jemaah haji dilaporkan.
Ketua Pengarahnya, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media pada Jumaat.
Sudais yang dipetik Saudi TV berkata, “Pelan itu yang menumpukan kepada aspek operasi dan bertujuan menawarkan perkhidmatan terbaik dan paling berkualiti kepada jemaah haji, telah mencapai matlamat fasa pertamanya, Alhamdulillah.”
“Bagaimanapun, kerja masih berjalan untuk terus menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat di Haramain,” tambahnya.
Pelan operasi yang disifatkan terbesar pernah dirancang dalam era pandemik COVID-19 itu dilancar pada Jun lepas dengan menumpu kepada 10 langkah utama di bawah matlamat strategik Wawasan 2030 Arab Saudi.
Sementara itu, Laporan Statistik Haji 2022 yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi menyatakan jumlah jemaah haji tahun ini mencecah 899,353 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 779,919 adalah jemaah luar negara, manakala bakinya 119,434 merupakan jemaah domestik, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Menurut SPA lagi, sebanyak 21.4 peratus jemaah datang dari negara-negara Arab, 53.8 peratus dari Asia dan 13.2 peratus Afrika.
Baki sebanyak 11.6 peratus lagi mewakili jemaah dari Eropah, Amerika dan Australia.
April lalu, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hanya seramai sejuta umat Islam bawah umur 65 tahun dan lengkap divaksin, dibenar menunaikan haji tahun ini. – TVS