KUCHING, 9 Julai : Sesiapa sahaja pasti berasa bangga dengan budaya kaum sendiri sama ada makanan, pakaian, bahasa atau apa sahaja adat resam turun temurun.
Tidak terkecuali bagi Dr. Kaleena Bulan Micheal, pakar mata berketurunan etnik Orang Ulu yang berasal dari Miri, Sarawak.
Tanpa ragu, dia memilih untuk ‘berkongsi’ keindahan pakaian tradisi kaumnya di Eropah bersempena ‘hari bahagianya’ menerima ijazah doktor falsafah (PhD) di University of Glasgow, Scotland.
Dr. Kaleena ,39, yang menamatkan Kajian Klinikal dan Pembedahan Sains Optometri untuk ijazah tingginya itu berkata, dia mengenakan pakaian itu kerana mahu mempamerkan tradisi dan kebudayaan Sarawak di luar negara.
Katanya, dia berharap agar pakaian berkenaan sentiasa dihargai terutamanya oleh generasi muda.
“Sudah tentu saya berasa gembira kerana menamatkan PhD.
“Bertambah manis apabila dapat mempamerkan kebudayaan Sarawak pada hari bahagia itu,” katanya ketika ditemu bual oleh TVS secara dalam talian baru – baru ini.
Kecintaan wanita ini terhadap pakaian beridentitikan etniknya cukup menebal.
Ini kerana dia turut mengenakan pakaian atau aksesori yang melambangkan tradisi Orang Ulu termasuk milik suku Kenyah dan Lun Bawang pada dua majlis konvokesyen awalnya.
“Ketika menerima Ijazah Sarjana Muda (Perubatan dan Pembedahan) di Universiti of Dundee pada 2008, saya memakai Pata’.
“Seterusnya ketika menamatkan Ijazah Sarjana di Kolej Oftalmologi Diraja London pada 2018, saya mengenakan Tapong Laka’ Anyam,”katanya.
Tarikh keramat 29 Jun 2022 pula, saat melangkah ke Bute Hall untuk menerima skrol PHD, dia memilih Tapong Se’.
“Ya, sudah pasti orang ramai di situ tertarik apabila melihat saya mengenakan busana tradisional gabungan Kenyah dan Lun Bawang.
“Ketika memakai Pata, rakan-rakan yang berasal daripada United Kingdom mengatakan saya ibarat seorang puteri yang menaiki pentas,” katanya.
Menurutnya persalinan Tapong Laka’ Anyam yang dipakai pada 2018 pula menyebabkan pensyarah dan rakan-rakannya menggelarnya Pocahontas.
Dr. Kaleena berkata, ramai yang ‘menyapa’ untuk berfoto dan dia yang seolah -olah menjadi ‘selebriti’ pada hari berkenaan, tidak menghampakan permintaan mereka.
“Sebenarnya, ibu dan ayah yang menghadiri setiap majlis konvo saya akan turut mengenakan pakaian tradisi Orang Ulu. Tidak hairanlah kami menjadi perhatian,” katanya.
Diajak berkongsi tentang pencapaian akademik dan kariernya pula, Dr. Kaleena yang bergelar pakar bedah sejak dua tahun lalu turut ‘mengambil masa’ menerangkan kepentingan kajian yang dilakukannya.
“Kajian saya yang bermula pada 2007 berkaitan fungsi pancaindera visual dalam jangka panjang dan biomarker plasma pada pesakit yang menerima ubat Vigabatrin.
“Ini bertujuan untuk menilai fungsi retina dalam jangka panjang bagi pesakit yang mengambil Vigabatrin dan ubat anti epilepsi. Vigabatrin berkesan untuk digunakan dalam epilepsi refraktori dan kekejangan bayi namun penggunaannya di seluruh dunia dihadkan kerana menyebabkan kesan toksik pada retina.
“Matlamat utama kajian ini adalah untuk menilai perkembangan ketoksikan retina dalam tempoh 10 tahun kerana maklumat ini penting namun masih tidak diketahui ketika ini,”katanya.
Dr. Kaleena berharap agar kajiannya berpotensi untuk mendapatkan maklumat baharu mengenai prognosis toksik retina yang dikaitkan dengan Vigabatrin.
Dalam pada itu, sepanjang bergelar doktor mata, Dr. Kaleena berkata, tiada ganjaran yang lebih besar selain dapat berbakti kepada masyarakat.
“Apabila pesakit pulih, perasaan puas itu sukar diluahkan dengan kata – kata.
“Saya terkenang kes seorang pesakit yang hilang penglihatan selama empat tahun. Setelah pulih, saya melihat dia memeluk anak dan cucunya, itulah momen yang paling indah bagi saya,” katanya.
Dr. Kaleena turut menitipkan pesan kepada orang Sarawak terutamanya masyarakat Orang Ulu dan Dayak agar jangan mudah berputus asa untuk mengejar impian.
“Ada ketika kita tersandung dan terjatuh, namun ada harinya kita dapat berlari dan mengejar impian.
“Oleh itu amat penting untuk mencari rakan yang bagus dan menerima sokongan daripada ahli keluarga kerana tanpa mereka, saya tidak akan pergi jauh,”katanya.
Apabila ditanya jika diberi peluang untuk bekerja di Sarawak, dia memberitahu pintu hatinya sentiasa terbuka.
Dr. Kaleena kini menetap bersama suaminya dan anaknya di United Kingdom. -TVS