SIBU, 8 Julai : Ketidaktelusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam menguruskan dana yang disalurkan kerajaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro dilihat menjadi punca perselisihan dalam kalangan penduduk rumah panjang di kawasan DUN tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri Daro, Safiee Ahmad berkata, meskipun ia berlaku di satu atau dua rumah panjang dan tidak serius, ia harus dielak sebaik mungkin daripada berlaku dengan mengemukakan laporan tahunan program yang dilaksanakan oleh JKKK, termasuk dalam penyata kewangan mereka.
“Laporan itu bukan setakat mengenai bagaimana aktiviti dilaksanakan oleh JKKK tetapi termasuk bagaimana dana yang disalurkan itu dibelanjakan.
“Tujuannya adalah supaya kita dapat memastikan program atau aktiviti yang dilaksanakan oleh JKKK mengikut apa yang dirancang dan dapat menangkis sebarang tohmahan, persepsi atau tuduhan berkaitan penyalahgunaan dana oleh sesetengah pihak,” katanya.
Beliau ditemui pemberita bagi mengulas isu perselisihan dalam kalangan penduduk di beberapa rumah panjang di kawasannya selepas merasmikan Kursus Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) dan JKKK Daerah Sibu (DUN Daro) di sini semalam.
Safiee berkata Kerajaan Sarawak telah menetapkan untuk sebuah rumah panjang itu boleh dikira sebagai rumah panjang yang rasmi, perlantikan ketua kaumnya dilantik secara rasmi dan dibayar elaun, dengan bilangan bilik (unit) keluarga yang ada tidak boleh kurang daripada 20 pintu.
Sekiranya berlaku perpecahan, katanya kerajaan negeri hanya akan mengiktiraf tuai rumah atau ketua rumah panjang yang sedia ada dan ini akan menyulitkan mereka yang berpisah daripada rumah panjang berkenaan untuk terus menikmati program pembangunan yang telah dirancangkan di kawasan itu.
Ditanya mengenai tahap kepatuhan menghantar laporan tahunan kalangan 78 JKKK rumah panjang di kawasan beliau, Safiee berkata ada sebahagiannya menghantar laporan itu setiap tahun dan ada pula yang menghantarnya lewat atau hanya melakukannya semasa memohon dana bantuan baharu.
“Saya menasihatkan tuai-tuai rumah panjang supaya melihat perkara (ketidakpatuhan) ini agar tidak berlaku kerana jika berlaku, ia tidak akan menguntungkan kita, apatah lagi sekarang ini kesatuan, perpaduan, keharmonian, toleransi dalam masyarakat adalah amat dituntut,” tambahnya. -TVS