KUCHING, 5 Julai: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) melancarkan Projek Berlian yang bertujuan untuk memperkasa agensi berkenaan sempena ulang tahun ke 50 penubuhannya sejak 1972.
Menurut Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain, inisiatif tersebut diambil bagi menjaga kualiti dan kredibiliti agensi berkenaan yang merupakan tulang belakang kerajaan negeri dalam perlaksanaan projek mega terutama dalam penyelidikan berkait sumber asli di di negeri ini.
“Projek berlian ini sebenarnya adalah projek transformasi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) ke tahap prestasi yang lebih tinggi.
“Ia termasuk transformasi di pelbagai peringkat, misalnya, transformasi IT, transformasi proses, transformasi budaya, dan transformasi etika kerja manusia,” katanya.
Ujar beliau, pihaknya berharap projek berkenaan dapat menghasilkan keputusan yang positif terutama berkait dengan sikap pekerja terhadap tugas dan tanggungjawab mereka.
Ujar beliau lagi, projek tersebut akan dilakukan secara berperingkat dan melalui proses yang berterusan sehingga misinya tercapai.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke 50 SEDC di sebuah hotel terkemuka di Kuching,semalam, yang mana turut menyaksikan berlangsungnya Majlis Pelancaran Projek Berlian yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.-TVS