KUCHING, 5 Julai: Sarawak Melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan membangunkan pelan khusus bagi industri hidrogen.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SEDC diberikan tanggungjawab tersebut untuk menjalankan penyelidikan menyeluruh berkaitan industri hidrogen yang dilihat mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada ekonomi negeri ini.
“Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai sumber air yang banyak dan cukup yang mana ia boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan hidrogen dan oksigen.
“Menerusinya, ia boleh menghasilkan tenaga mesra alam dan saya telah memberi kepercayaan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk memainkan peranannya untuk memanfaatkan sumber hidrogen ini,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir merasmikan sambutan ulang tahun ke 50 SEDC di sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain berkata, penyelidikan berkaitannya sedang berjalan dan pembinaan fasiliti untuk pengeluaran tenaga hidrogen akan bermula pada tahun hadapan setelah penyelidikan mengenainya selesai.
Namun begitu, beliau mengakui terdapat beberapa kekangan yang telah dikenal pasti semasa penyelidikan dilakukan yang mana ia boleh merencatkan perancangan kerajaan negeri jika ia tidak diatasi dengan betul.
“Cabaran terbesar ialah mengenai kos hidrogen itu sendiri kerana pembeli ingin membeli hidrogen pada kos yang sangat rendah, tetapi untuk menghasilkan hidrogen kosnya tinggi yang mana kita bergantung pada harga penggunaan elektrik.
“Selain itu, kekangan lain yang kita kenal pasti ialah mengenai pengangkutan hidrogen iaitu bagaimana untuk kita untuk melakukan penghantaran hidrogen dari sini ke Korea atau ke Jepun,” ujarnya. -TVS