Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bekas juara dunia remaja perseorangan wanita Goh Jin Wei sudah pulih daripada kecederaan otot belakang paha dan cergas untuk beraksi pada Masters Malaysia 2022 di sini hari ini.

Masters Malaysia: Jin Wei pulih daripada kecederaan, cergas untuk beraksi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 5 Julai : Bekas juara dunia remaja perseorangan wanita Goh Jin Wei sudah pulih daripada kecederaan otot belakang paha dan cergas untuk beraksi pada Masters Malaysia 2022 di sini hari ini.

Beliau yang terpaksa menarik diri ketika perlawanan di Antarabangsa Itali dan Masters Denmark akibat kecederaan tersebut bulan lepas, kini mahu menumpukan pada kejohanan yang diadakan di Axiata Arena itu.

Di Itali, pemain nombor 69 dunia itu menarik diri selepas tewas set pertama 24-26 kepada perseorangan Taiwan Wen Chi Hsu pada pusingan separuh akhir dan ketika Master Denmark beliau menarik diri pada pusingan pertama ketika menentang Tanya Hemath dari India.

“Tiada alasan untuk saya sekarang kerana saya dalam kondisi yang baik untuk bermain di sini,” katanya kepada pemberita selepas menewaskan Malvika Bansod dari India 21-10, 21-17 dalam perlawanan pusingan kelayakan. 

Atlet dari Pulau Pinang itu akan menentang perseorangan dari Amerika Syarikat Beiwen Zhang dalam pusingan pertama.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao, yang berada pada ranking ke-130 dunia, mencipta kejutan apabila mengetepikan perseorangan profesional Cheam June Wei (ranking ke-73) dan pemenang gangsa Kejohanan Badminton Asia Weng Hong Yang (ranking ke-50) dalam pusingan kelayakan.

Lebih menarik, Jun Hao memenangi kedua-dua perlawanan itu dengan mengheret permainan ke rubber set setelah tewas pada set pertama.

Beliau menang 16-21, 21-15, 21-16 dalam perlawanan menentang June Wei dan 5-21, 21-17, 21-13 ketika berdepan Hong Yang, serta dijadualkan bertemu pemain Thailand Kantaphon Wangcharoen pada pusingan pertama.

Katanya sokongan padu daripada peminat tempatan telah menaikkan semangatnya untuk melakukan sehabis baik dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, perseorangan utama Persatuan Badminton Malaysia Ng Tze Yong turut melangkah ke pusingan pertama selepas menewaskan rakan senegara Yeoh Seng Zoe 21-12, 21-13 dan Lee Dong Keun dari Korea Selatan 21-8, 21-12.

Menurut Tze Yong beliau kini dalam prestasi yang lebih baik untuk kejohanan ini berbanding minggu lepas ketika beliau dikalahkan Lu Guang Zu dari China pada pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Selain itu, pemain profesional negara Soong Joo Ven menundukkan pemain muda Aidil Sholeh Ali Sadikin, 14-21, 21-14, 21-16 dan Victor Svendsen dari Denmark, 21-9, 16-21, 21-10, untuk ke pusingan pertama berdepan Li Shi Feng dari China.

Dalam kategori beregu lelaki, Chia Weijie-Low Hang Yee kecundang di tangan beregu China Liang Wei Keng-Wang Chang, 16-21, 15-21, manakala beregu wanita Thailand Supissara Paewsampran-Puttita Supajirakul menewaskan gandingan Yap Rui Chen-Yap Yee dengan kemenangan 21-16, 21-8, sekali gus menyekat kemaraan kedua-dua beregu Malaysia itu untuk ke pusingan pertama. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan