LAWAS, 5 Julai : Rakyat Sarawak khususnya di Parlimen Lawas perlu memastikan parti GPS terus diberikan sokongan padu.
Ini disebabkan pemimpin GPS terbukti mampu membawa suara lantang rakyat Sarawak dalam memastikan hak dan kepentingan Sarawak terus diperjuangkan.
Oleh itu, menjelang Pilihanraya Umum kelak Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan mahu melihat calon GPS terus menjadi pilihan utama pengundi-pengundi di Parlimen Lawas.
Beliau turut memberi gambaran bahawa penyandang kerusi Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Lawas.
“Saya berharap apabila tiba masanya pilihanraya parlimen nanti, kita akan menang besar dan Agong(Henry Sum Agong) itu akan sentiasa Agong.
Ini adalah demi untuk kepentingan kita semua supaya suara kita kuat di Parlimen,” katanya pada majlis penutup Gawai Dayak 2022 peringkat daerah Lawas pada malam Isnin lalu.
“Dengan suara kita yang kuat, kita boleh terus memperjuangkan hak dan kepentingan kita seperti apa yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia (MA63) dan laporan IGC. Itu yang diperjuangkan dan kita akan teruskan perjuangan demi untuk kepentingan negeri dan masyarakat kita,” tambahnya.
Henry Sum Agong berjaya mempertahankan kerusi parlimen Lawas yang dimenangi sejak tahun 1999 pada PRU ke-14 dengan majoriti 6000 undi menewaskan calon PKR dan calon Bebas.- TVS