KUCHING, 4 Julai : Sarawak belum memuktamadkan sasaran pungutan pingat untuk kontigennya yang bakal bersaing di temasya Sukan Malaysia ke-20 SUKMA XX pada September depan.
Ia susulan berkemungkinan akan terdapat perubahan jumlah acara yang akan dipertandingkan dalam temasya berkenaan yang akan mempengaruhi sasaran asal kontigen.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sasaran jumlah pingat berkenaan akan diumumkan empat hari sebelum temasya SUKMA ke-20 pada 16 september ini serentak dengan perlaksanaan Kem SUKMA XX dan penyerahan bendera kontigen.
Situasi itu bagi memberi peluang kepada setiap persatuan sukan dan jurulatih yang terlibat untuk mempersiapkan atlet yang bertanding ke tahap yang maksimum dan berupaya menymbang pingat bagi acara yang ditandingi.
“Pada masa ini kita masih lagi dalam empat puluhan, kita masih belum berpuas hati dengan sasaran itu sebab target kita ialah untuk jadi champion. Kalau kita tidak dapat lebih dari 50 pingat emas maka kita boleh lupakan hasrat itu.”
Menurut Abdul Karim, sebanyak 12 acara terpaksa digugur daripada dipertandingkan rentetan kurangnya penyertaan daripada kontigen negeri lain.
Pengguguran acara berkenaan jelasnya memberikan implikasi besar terhadap sasasan pingat memandangkan ia merupakan antara acara dimana kontigen Sarawak mempunyai kelebihan untuk memperoleh pingat.
Namun demikian, pengurusan Kontigen terpaksa akur kerana masalah sama juga turut dihadapi oleh semua kontigen negeri yang bertanding di temasya berkenaan.
Tambah Abdul Karim, tiada masalah besar yang dihadapi oleh atlet dan persatuan sukan yang boleh menjejaskan persiapan kontigen untuk ke Sukma Ke-20 nanti.
Bagaimanapun ujar beliau Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menerusi Sarawak Sport Corporatian akan cuba untuk menyelesaikan setiap masalah yang timbul dikalangan persatuan dan atlet terlibat agar tidak menjejaskan prestasi kontigen ketika berlangsungnya SUKMA ke-20 nanti.
Untuk Sukma ke-20 kali ini, sarawak bakal menghantar 625 atlet yang akan bertanding dalam 426 acara yang dipertandingkan.
Pada SUKMA Ke-19 lalu, Sarawak berada pada tangga ke-4 keseluruhan dengan pungutan pingat keseluruhan sebanyak 138 pingat terdiri daripada 42 emas, 36 perak dan 60 gangsa.-TVS