KUALA LUMPUR, 1 Julai : Jaguh baling tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei mengintai peluang untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri pada penampilan sulung di temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, hujung bulan ini.
Pemenang pingat emas Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Mei lalu, itu mengakui perlu memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi semasa latihan sebelum mengidam memperbaharui rekod kebangsaan 62.48 meter (m) yang dicipta pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia, April tahun lalu.
Malah, atlet kelahiran Sarikie, Sarawak itu, percaya venue temasya Sukan Komanwel itu dapat memberi inspirasi untuk dirinya melakarkan catatan peribadi terbaiknya yang juga merupakan rekod kebangsaan miliknya.
Grace Wong menyifatkan faktor penampilan sulung di Sukan Komanwel bukan penghalang untuk memperagakan prestasi terbaik, malah memasang impian untuk berada dalam kelompok lapan atlet terbaik dalam acara baling tukul besi wanita.
“Bagi saya peluang memperbaharui catatan peribadi terbaik memang ada sebab semasa latihan sekarang, saya boleh membuat balingan sejauh 64m…cuma perlu lebih bersedia dari segi kekuatan mental,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, atlet baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong Siew Cheer berkata tiada yang mustahil untuknya beraksi dalam kelompok lapan terbaik berdasarkan prestasi semasa beliau yang lebih baik berbanding ketika bersaing di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.
“Bersaing dengan negara besar dalam acara olahraga memang satu cabaran bagi atlet Asia tetapi saya memang menyasarkan saingan peringkat akhir dan memperbaharui catatan rekod kebangsaan saya.
“Peluang untuk mencapai sasaran memang ada sebab catatan peribadi terbaik (rekod kebangsaan 68.22m) membolehkan saya menduduki ranking kesembilan pada Sukan Komanwel 2018,” kata pemenang emas Sukan SEA Hanoi itu.
Sukan Komanwel Birmingham akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.-TVS