KUCHING, 1 Julai : Pelumba kereta profesional muda Sarawak, Muhd Hamdany Hamid meneruskan aksi cemerlang apabila menjuarai kategori rookie pada perlumbaan pusingan kedua Toyota Gazoo yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.
Muhd Hamdany 18, berkata, pencapaian itu merupakan rekod terbaiknya sepanjang terlibat dalam perlumbaan profesional.
“Perlumbaan kedua itu sangat mencabar kerana saya beraksi ketika hujan lebat dan bermula di posisi kedua.
“Strategi yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik walaupun agak sukar berikutan keadaan permukaan litar yang licin,”katanya ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Remaja yang memulakan ‘karier’ sebagai pelumba simulator itu berkata, dia berharap agar terus konsisten dan seterusnya meraih kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.
“Saya sentiasa terbuka untuk menyertai kejohanan selepas ini.
“Penyertaan dalam banyak perlumbaan sangat penting untuk memantapkan lagi pengalaman saya sebagai seorang pelumba,”katanya.
Dalam pada itu, dia juga tidak menolak sebarang penajaan termasuk di Sarawak yang boleh membuka ruang kepadanya untuk terus bersinar dalam sukan ini.
“Sejujurnya sukan ini memerlukan kos yang agak besar bagi menyertai pertandingan dan penyelenggaran kenderaan,” katanya. -TVS