KOTA KINABALU, 1 Julai : Keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memelihara keselamatan dan kedaulatan wilayah Malaysia Timur terus dimantapkan dengan perolehan tiga Helikopter AW139.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua buah helikopter telah diserahkan hari ini manakala sebuah lagi dijangka akan tiba pada September.
Katanya, perolehan aset itu membolehkan rondaan penguatkuasaan maritim dapat dilaksanakan lebih kerap sekaligus berupaya mengukuhkan pengawasan ruang udara di perairan maritim Sabah dan Sarawak.
“Usaha ini melibatkan beberapa pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penglibatan kerajaan negeri serta agensi dan kementerian berkaitan.
“Gandingan semua pihak ini membantu kita memastikan apa yang telah dijanji dapat direalisasikan seperti perolehan Helikopter AW139 yang dibekalkan kepada kita lebih awal berbanding jadual,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) dan Skuadron 503 (SKN 503) di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini hari ini.
Helikopter buatan Itali itu dilengkapi dengan RDR 1700A radar pencarian dan 12.7 milimiter mesingan.
Menurut Hishammuddin, keberadaan aset itu juga merupakan usaha untuk mengekalkan moral dan semangat anggota ATM khususnya TLDM untuk melaksanakan penugasan operasi yang sentiasa mencabar.
Serentak perolehan Helikopter AW139 itu, beliau berkata Skuadron 503 (SKN 503) telah ditubuhkan bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian Helikopter Operasti Maritim (HOM).
Katanya, skuadron itu akan berada di bawah perintah operasi Stesen Udara Kota Kinabalu yang turut dilancarkan bertujuan meningkatkan kecekapan unit pentadbiran, pengurusan logistik dan penguasa operasi penerbangan khususnya di Armada Timur.
SUKK yang terletak di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu memainkan fungsi utama dalam pengoperasian pesawat helikopter TLDM serta ATM agar kekal efisien dan selamat. -TVS