Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setelah dua minggu diberikan keputusan SPM 'palsu', Raden Zul Eskandar hari ini tersenyum menerima keputusan sebenarnya.

Mengapa keputusan SPM saya jadi begini?

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 30 Jun: Pada 16 Jun lepas ketika hari pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, Raden Zul Eskandar Raden Bustari, 18, yang merupakan salah seorang calon berasa sangat teruja saat melangkah ke sekolah untuk mengambil slipnya.

Ini kerana ‘kertas’ itu sangat penting untuk menentukan ‘kelayakannya’ bagi menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun keterujaan bekas pelajar Institut Tahfiz Bintulu (ITB) itu bertukar menjadi resah berpanjangan sebaik sahaja keputusan berada di tangannya.

Keputusan ditanda tidak hadir walaupun duduki peperiksaan

Ini kerana keputusan bagi subjek Bahasa Melayu yang didudukinya telah ditandakan dengan status T yang bermaksud tidak hadir.

Lebih membingungkan remaja itu, keputusan ujian lisan subjek berkenaan juga menerima ‘nasib serupa’.

Ibunya, Dayang Rawdiah Awang Mahmud berkata, keputusan itu sangat ‘tidak masuk akal’ kerana anaknya hadir menduduki peperiksaan bagi kesemua kertas yang telah didaftarkan.

“Ketika peperiksaan berlangsung, saya sangat pasti Raden Zul Eskandar hadir dengan menaiki van yang disediakan pihak sekolah. Pelajar yang menduduki SPM di pusat berkenaan hanya seramai 11 orang.

“Setelah mereka sampai, guru akan memaklumkan kepada ibu-bapa menerusi kumpulan WhatsApp, jadi macam mana keputusan anak saya ditanda sebagai tidak hadir,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Dayang Rawdiah berkata, disebabkan keputusan ‘pelik’ itu, anaknya tidak layak untuk mendapatkan keputusan peperiksaan SPM kerana BM merupakan subjek wajib lulus.

Sudah pasti dia berasa sangat risau apabila dimaklumkan perkara itu sambil memikirkan masa depan anaknya itu.

Namun, Dayang Rawdiah berkata, anaknya sangat tabah ketika menerima ujian itu walaupun dia terlepas peluang untuk mengisi permohonan bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Awam yang ditutup hari ini.

Wanita itu berkata, selepas keputusan tidak hadir dicatatkan pada slip keputusan anaknya, perjuangannya sebagai ibu untuk ‘menuntut’ hak anaknya bermula.

Tidak berputus asa demi pendidikan anak 

Katanya, Raden Zul Eskandar kemudian diberikan satu pautan untuk membuat semakan semula keputusan SPM dan dimaklumkan akan menerima hasil semakan itu dalam tempoh sebulan.

Seminggu selepas itu katanya, anaknya menerima keputusan semakan semula namun ‘nasib’ masih tidak memihak kepada mereka kerana keputusan semakan semula itu kekal sebagai tidak hadir.

“Saya kemudian menghubungi pegawai Unit Peperiksaan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu untuk mendapatkan nasihat dan tindakan lanjut yang perlu dilakukan,”katanya.

Dayang Rawdiah berkata, pegawai PPD Bintulu juga turut membantu apabila bertindak awal selepas dimaklumkan perkara itu oleh pengajar di ITB.

“Bantahan telah dibuat oleh pejabat pendidikan bersama bukti yang menunjukkan anak saya menduduki peperiksaan bagi kertas tersebut selama empat hari,”katanya.

Bukan kes pertama 

Selanjutnya, wanita ini mendakwa, kejadian yang menimpa anaknya itu bukanlah kes tunggal kerana ada calon di sekolah lain juga mengalami nasib serupa.

“Bayangkan kita di Sarawak yang terkenal dengan sifat tidak mahu memperbesarkan isu terpaksa menelan hakikat ini, sangat tidak adil,” katanya.

Ketika berjuang untuk mendapatkan keputusan original anaknya, wanita itu memberitahu, ada pihak tertentu menasihatkan supaya mengambil peperiksaan ulangan.

“Kenapa anak saya perlu menduduki semula peperiksaan berkenaan sedangkan dia hadir,”soalnya.

Katanya dia berasa sangat terkilan selepas keputusan semakan semula itu ‘keluar’ kerana seolah-olah tidak ada tindakan untuk memeriksa semula dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Susulan itu kami terpaksa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,”katanya.

Beliau memberitahu, langkah itu diambil kerana dia tidak mahu anaknya terus menanti sambil mengharapkan keajaiban.

“Kami tidak tahu berapa lama isu ini akan selesai, hanya tunggu dan lihat.

“Bayangkan kalau perkara ini menimpa pelajar di pedalaman, bagaimana mereka hendak berhadapan dengan isu sebegini kerana hendak berulang alik ke PPD bukan perkara mudah,”katanya.

Katanya, dia membangkitkan isu ini bukanlah kerana hendak menuding jari sebaliknya ‘seseorang’ perlu bercakap untuk mewakili ibu bapa di luar bandar yang mungkin tidak mempunyai pengetahuan untuk ‘berjuang’ bagi kes sebegini.

Masa depan Raden terjamin, Lembaga Peperiksaan tampil membantu Raden

Hari ini, Dayang Rawdiah berkata, kemelut keputusan peperiksaan yang menimpa anaknya mula menemui sinar.

Katanya, dia menerima mesej daripada PPD Bintulu mengenai sijil keputusan SPM ‘baharu’ anaknya yang telah diubah oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Katanya, saat menerima perkhabaran itu, dia berpuas hati kerana perjuangan selama dua minggu untuk anaknya itu membuahkan hasil.

Menurutnya, Raden Zul Eskandar mendapat keputusan cemerlang iaitu 2 A, 1 A-, 2 B, 1 B + dan 2 C+.

Katanya lagi, anaknya merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan perundangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Selangor.

Ketika ini katanya mereka sedang membuat permohonan semula untuk UPU.

Di sebalik kekusutan keputusan peperiksaan yang menimpa anaknya itu mula menunjukkan jalan penyelesaian, Dayang Rawdiah berharap agar pihak – pihak berkenaan mengambil pengajaran supaya kejadian yang menimpanya anaknya tidak berulang.

“Ini kerana usaha dan persediaan untuk mereka menduduki peperiksaan itu bukan senang kerana berjuang ketika pandemik, semua kelas dibuat secara dalam talian.

“Ini bukan masalah kecil kerana keputusan SPM adalah penentu hala tuju untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,”katanya.

Pada masa yang sama, dia turut berterima kasih kepada pihak yang membantu anaknya.

Dayang Zawdiah turut berpesan kepada ibu bapa supaya jangan berhenti untuk berjuang kerana jika mereka mengambil sikap tunggu dan lihat, ia akan merugikan anak mereka.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan