KUCHING, 29 Jun : Sarawak berharap beberapa negeri lain akan menghantar atlet mereka bagi acara terjun pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 di Kuala Lumpur, September depan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, ketika ini hanya tiga negeri sahaja termasuk Sarawak yang mengesahkan penyertaan untuk acara berkenaan.
Katanya, sekiranya jumlah kontinjen bertanding bagi sesuatu sukan tidak mencapai enam pasukan, acara itu tidak akan dipertandingkan pada temasya berkenaan yang menjadi medan untuk mencungkil atlet pelapis.
Baca > > > Sarawak ‘marah’ jika terjun digugurkan dari SUKMA, acara itu sumbang pingat di Olimpik
Baca > > > SUKMA : Sarawak akan rayu senaraikan acara terjun
“Kita mengharapkan negeri-negeri juga akan menghantar pasukan terjun mereka untuk acara berkenaan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Kebangsaan 2022 di sini, hari ini.
Terjun yang merupakan acara yang menyumbang pingat kepada Malaysia di Sukan Olimpik dan sukan utama lain kini berada dalam ‘bahaya’ apabila berkemungkinan tidak akan dipertandingkan pada SUKMA kali ini berikutan kekurangan pasukan bertanding.
Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan jenis sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA harus dilihat dari perspektif yang betul.
Katanya, ini kerana terdapat pasukan negeri yang membuat pelaburan besar dalam pembangunan sukan berdepan isu acara tertentu digugurkan pada SUKMA termasuk terjun yang telah terbukti menyumbang pingat kepada negara pada pentas saingan berprestij.
Ditanya sejauh mana kepentingan acara terjun kepada pasukan Sarawak, Gerald Rentap berkata, sukan itu merupakan lubuk emas kepada negeri ini pada setiap edisi SUKMA.
“Acara terjun mempunyai banyak bakat di Sarawak. Oleh itu pendedahan untuk sukan ini pada peringkat SUKMA sangat perlu sebagai usaha kita untuk melahirkan pelapis yang mampu mengharumkan nama negara seperti yang telah dibuktikan oleh Dato Pandelela Rinong,” katanya.
Berhubung persiapan atlet Sarawak ke temasya itu, beliau berkata, berbaki 85 hari lagi, persiapan kini sedang rancak.
“Esok hari terakhir untuk penganjur memutuskan acara apa yang akan berlangsung, selepas itu kita akan tahu berapa ramai atlet yang akan dihantar oleh pasukan kita,” katanya. TVS