KUCHING, 29 Jun : Sarawak akan mengkaji cadangan untuk menggunakan gaya penceritaan dalam bahasa Mandarin sebagai tambahan kepada Bahasa Malaysia dan Inggeris yang digunakan di Muzium Budaya Borneo di sini yang dibuka sejak 9 Mac lepas.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kajian ini akan mengambil kira bilangan pelancong asing yang menggunakan Bahasa Mandarin semasa melawat muzium berkenaan serta kos tambahan jika cadangan itu dilaksanakan.
“Kalau bilangan (pelancong berbahasa Mandarin) besar dan dirasakan ada keperluan, (cadangan itu) kami akan laksanakannya tapi buat masa ini kami lakukan kajian terlebih dulu,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Menurutnya cadangan itu telah dikemukakan oleh Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian susulan populariti muzium itu sejak ia dibuka.
“Dalam tempoh tiga bulan (pembukaannya) sahaja kami mampu menarik lebih 250,000 (pengunjung). Saya rasa kini mungkin lebih 300,000 orang telah mengunjunginya,” katanya.
Katanya penggunaan bahasa Mandarin untuk penceritaan sejarah seorang pelombong emas Cina, Liu Shan Bang, di daerah Bau dekat sini semasa pemerintahan Brooke di Sarawak juga sedang dikaji.
Dalam pada itu, beliau berkata satu konsert berjudul I Want To Break Free! Queen Tribute akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) 30 Julai ini membabitkan artis seperti Alfred Ayal, Alif Putra, X Killer Queen, Dewi Seriestha dan Mathew Ngau. Maklumat lanjut berhubung persembahan itu boleh diperoleh di laman www.frontrow.asia. – TVS