KUCHING, 29 Jun : Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan peruntukan sebanyak RM35 juta untuk membantu usahawan di Sarawak.
Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanannya, Dato Zulfikri Osman berkata, jumlah pinjaman itu menjadikan Sarawak sebagai negeri tertinggi yang diberi kemudahan berkenaan.
“Pada masa sama, jumlah usahawan di Sarawak yang mendapat bimbingan dan bantuan MARA ialah sekitar 4,700 orang.
“Ini menunjukkan MARA serius untuk membantu dalam pembangunan para usahawan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat kilang original equipment manufacture (OEM) Sophia Taha Holding Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Sementara itu, Zulfikri berkata, agensi itu juga berterima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang membantu MARA untuk mengenal pasti pasaran yang sesuai untuk produk keluaran usahawan tempatan.
“Begitu juga dengan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) yang turut menyediakan sebahagian dana galakan bumiputera untuk membantu usahawan,”katanya.
Berhubung program Gete to Global pula, beliau memberitahu, MARA sangat teliti berhubung pemilihan pesertanya.
“Kriteria pertama yang dilihat ialah produk yang dijual merupakan produk keluaran usahawan itu serta mempunyai kilang,”katanya.
Jelasnya, ia bagi mengelakkan usahawan mengalami sebarang masalah pada masa akan datang.
“Menerusi program itu, usahawan-usahawan yang terpilih dalam program itu kita sediakan pelbagai latihan terutamanya pengetahuan mereka untuk eksport yang membabitkan undang – undang yang perlu dipatuhi,” katanya.
Katanya, Sarawak diklasifikasikan sebagai negeri yang mempunyai potensi untuk melahirkan ramai usahawan yang produknya boleh dipasarkan ke luar negara. – TVS