KUCHING, 28 Jun : Ratu terjun negara, Dato Pandelela Rinong meletakkan dirinya sebagai tiga penerjun terbaik dunia selepas meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform akhir pada Kejohanan Dunia di Hungary.
Beraksi awal pagi tadi, atlet kelahiran Bau, Sarawak itu dicabar sengit oleh penerjun Brazil, Oliveira Ingrid dalam perjuangannya menggapai gangsa.
Begitupun Pandelela yang juga pemenang dua pingat Olimpik tenang melakukan terjunan akhir untuk mata keseluruhan 338.85 sekaligus meninggalkan Ingrid di tempat keempat yang mengumpul 327.10.
Sementara itu seperti dijangka, dua penerjun China menguasai emas dan perak malah jauh meninggalkan kesemua 10 pencabar lain.
Juara dunia, Chen Yuxi dicabar sengit oleh rakannya namun lebih unggul untuk meraih emas menerusi catatan 417.25 berbanding 416.95 oleh Quan Hongchan untuk perak.
Menerusi hantaran di Instagram, Pandelela berkongsi gambar keputusan akhir acara berkenaan.
“Gambar pertama yang saya kongsi selepas final.
“Seperti biasa, selalu teruja menyaksikan aksi penerjun China,” tulisnya. -TVS