TAWAU, 26 Jun : Status daerah ini sebagai ‘syurga makanan’ perlu dikembang dengan lebih meluas melalui pelancongan gastronomi.
Sehubungan itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin mahu Majlis Perbandaran Tawau (MPT) perlu mempelbagaikan produk pelancongan untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
“Kita mahu menarik pelancong untuk datang ke Tawau supaya mereka dapat merasai atau menikmati makanan yang menjadi trademark di sesuatu kawasan,”katanya dalam lawatan kerja ke MPT hari ini.
Jelasnya, masyarakat Tawau yang terdiri daripada pelbagai etnik telah mewujudkan variasi citarasa makanan tersendiri yang turut melambangkan tradisi mahupun adat resam yang diamalkan.
“Sebagai contoh, Masyarakat Bugis cukup dikenali dengan pelbagai adat dan tradisi termasuk makanannya yang unik dan menarik dari segi rasa serta cara pembuatannya seperti Burasak, Barobok, Tumbu dan banyak lagi,” katanya.
Di samping itu katanya, bagi mengukuhkan lagi produk pelancongan gastronomi, produk dan aktiviti Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) juga perlu terus dibangunkan.
“Tawau mempunyai kelebihan pusat pelancongan yang tersendiri khususnya dari segi kekayaan biodiversiti alam semulajadinya.
“Antara tempat menarik yang kini sedang dinaiktaraf kemudahan infrastrukturnya adalah termasuk Batu Bersusun, Rumah Api Tinagat dan beberapa tempat lagi,”ujarnya. -TVS