KUCHING, 22 Jun : Kerajaan Sarawak akan melaksanakan projek pemasangan saluran paip gas ke rumah penduduk di seluruh negeri ini dalam tempoh lapan tahun lagi.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) telah diberi tanggjungjawab untuk menjayakan projek berkenaan.
Katanya, projek itu bertujuan untuk membantu penduduk di luar bandar dan kawasan pedalaman yang terkesan kerana menanggung kos yang tinggi untuk mendapatkan bekalan gas untuk kegunaan harian.
Katanya, pemasangan saluran paip gas akan membolehkan bekalan gas semula jadi akan disalurkan ke rumah penduduk.
“Bagi peringkat permulaan, kita akan mulakan projek  ini di kawasan luar bandar.
“Harga asal gas silinder ialah RM28 namun apabila sampai di Kapit atau Baram, ia menjadi lebih mahal berikutan faktor logistik, jadi inilah kita mahu bantu,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Oil, Gas, Services and Equipments Roadshow di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Hazland berkata, sekiranya projek rintis itu berjaya, kerajaan akan meluaskan di bandar – bandar utama yang lain.
“Kita mahu mewujudkan empat ‘plant’ yang besar iaitu di Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu,”katanya.
Sementara itu beliau memberitahu, projek rintis pemasangan saluran paip gas itu sebelum ini telah dilaksanakan oleh pihak swasta yang dipantau oleh Kerajaan Sarawak di bawah Projek Rakyat di Kampung Tabur dan Kampung Teh, Mukah.
“Bagaimanapun untuk projek di situ mereka menggunakan sumber biogas dari hampas pokok rumbia,”katanya.-TVS