BATU NIAH, 22 Jun: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila lori 10 tayar yang dipandunya terbakar dalam kejadian tidak jauh dari Simpang Sepupok, Jalan Miri-Bintulu dekat sini, pagi tadi.
Kejadian pada pukul 9 pagi itu berlaku apabila pemandu berusia 40 tahun bersama dua kelindan sedang dalam perjalanan ke Miri dari Sibu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi II Rary Binjie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.07 pagi, sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi yang terletak 13 kilometer (km) dari balai.
“Setibanya pihak bomba di lokasi pada 9.21 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah lori jenis 10 tayar terbakar dan api dipercayai bermula dari tayar sebelah kiri bahagian belakang,” katanya ketika dihubungi TVS.
Katanya, pasukan bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran saluran bantu mula air dan kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 50 minit
Terdahulu pemandu lori cuba memadamkan kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api mudah alih namun gagal.
Insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan. -TVS