LAHAD DATU, 21 Jun : Seorang terbunuh manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Segama di sini awal pagi tadi melibatkan sebuah kenderaan Proton Saga yang bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux.
Kemalangan yang dilaporkan berlaku pada jam 5.40 pagi itu meragut nyawa Willy Maikan, 28 yang merupakan pemandu Proton Saga sementara dua yang cedera ialah Sait Amir, 31, dan Mohd Saiful Mato, 12.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.48 pagi.
Sejurus menerima panggilan itu tujuh anggota bersama jentera bergerak ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari BBP Lahad Datu.
Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Proton Saga dan sebuah Toyota Hilux.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat dalam kemalangan seorang daripadanya meninggal dunia ditempat kejadian yang disahkan anggota perubatan kesihatan.
“Mangsa yang cedera mendapat rawatan awal ditempat kejadian sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya. -TVS