Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Sarawak dan Microsoft Malaysia hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU), untuk untuk merancakkan transformasi digital dalam Sarawak dan sektor ekonomi utama termasuk pertanian dan pembuatan, serta Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) di negeri ini.

Sarawak, Microsoft Malaysia meterai kerjasama rancakkan transformasi digital

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 21 Jun : Kerajaan Sarawak dan Microsoft Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memacu transformasi digital melibarkan pelbagai sektor di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama dengan syarikat gergasi teknologi global itu selaras dengan visi negeri ini untuk melonjakkan ekonominya berasaskan data dan inovasi.

Abang Johari berkata, kerjasama itu akan meliputi usaha transformasi sektor awam, swasta, pertanian serta sektor pembuatan yang dijangka akan turut memanfaatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini.

“Ini merupakan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk merealisasikan Wawasan Sarawak 2030 dan seterusnya mencapai matlamat yang ditetapkan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani MoU berkenaan sempena hari terakhir Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Microsoft Malaysia diwakili oleh Pengarah Urusannya, K.Raman.

Menerusi kerjasama berkenaan, Kerajaan Sarawak akan meneroka penyelesaian berasaskan teknologi awan untuk sektor pertanian serta memanfaatkan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin dan sokongan terancang untuk sektor pembuatan serta pemain PKS di negeri ini.

Pada masa sama, Kerajaan Sarawak akan turut bekerjasama dengan Microsoft dalam strategi keselamatan siber untuk menambah baik postur keselamatan sibernya.

Jalinan kerjasama berkenaan menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia mempunyai MoU dengan Microsoft untuk memacu penggunaan awan, berikutan Perjanjian Rangka Kerja Awan (CFA) yang ditandatangani antara Microsoft dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Abang Johari menambah, ketika ini Sarawak sedang berkembang pesat termasuk membangunkan negeri ini dan kerjasama strategik dengan pemain industri global amat diperlukan.

“Oleh itu kita perlu mengambil pendekatan yang lebih holistik yang melangkaui pembinaan infrastruktur digital negeri dengan bekerjasama dengan Microsoft yang mana kita berhasrat untuk melengkapkan rakyat Sarawak dengan kemahiran digital untuk masa hadapan,”katanya.

Sementara itu Raman berkata, Sarawak telah menarik minat syarikat global itu untuk menjalinkan kerjasama disebabkan potensi besar yang dimilikinya.

Katanya, Sarawak merupakan penyumbang ekonomi utama kepada ekonomi Malaysia, membentuk 9.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Perkongsian kami dengan Sarawak ialah sebagai komitmen untuk memperkasakan ekonomi digital di negara kita dan memajukan transformasi digital merentasi sektor swasta dan awam,”katanya.

Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan untuk memperkasakan rakyat Sarawak dengan peluang yang sama untuk mendapat manfaat daripada gelombang transformasi digital sambil memastikan pertumbuhan mampan bagi negeri ini dengan memanfaatkan teknologi.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan