Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Jemaah Pengelola DBP Professor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Individu tidak hormat bahasa kebangsaan berdepan dengan hukuman maksimum RM50,000 atau penjara

KUALA LUMPUR, 21 Jun : Individu yang didapati tidak menghormati Bahasa Kebangsaan pada masa hadapan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959.

Pengerusi Jemaah Pengelola DBP Professor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata kedua-dua hukuman adalah antara yang dicadangkan untuk pindaan akta itu yang kini dalam fasa akhir perbincangan sebelum dijangka dibentang kepada Perdana Menteri bulan depan.

“Ia bukan soal salah tatabahasa atau ejaan tetapi tidak hormati Bahasa Kebangsaan. Usul denda ini bukan untuk menghukum, ia dicadang untuk membangkitkan kecintaan dan patriotisme kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun ke-66 DBP di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan kerajaan akan meminda akta itu bagi membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

Awang berkata DBP turut mencadangkan agar Akta Bahasa Kebangsaan di bawah selian Pejabat Perdana Menteri dipinda seiringan pindaan Akta DBP agar pihaknya dapat menjalankan tugas sebagai penguatkuasa bahasa dengan lebih berkesan.

“Bukan sahaja Akta DBP perlu dipinda tetapi pindaan Akta Bahasa Kerajaan juga perlu dilakukan kerana itu induknya. Kalau akta itu diperluas, bolehlah kerajaan meminta DBP melaksanakan dasar bahasa secara lebih jelas,” katanya.

Mengenai pindaan itu, beliau berkata ia harus dilaksana secara holistik bukan sekadar bidang kuasa penguatkuasaan tetapi juga harus melihat aspek perantarabangsaan, pentauliahan dan pelesenan bahasa sastera.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan