KUALA LUMPUR, 21 Jun: Minat mendalam dan pembabitan Nizam Abdullah dalam seni pembinaan arca berjaya melakar sejarah apabila karya arca gantung berkonsepkan ‘Pohon Meranti’ ciptaannya menempa nama di dalam Malaysia Book of Records, semalam.
Arca rekaan Nizam, 41, setinggi 150 meter dengan berat sekitar 2,000 kilogram (kg) itu digantung di bangunan Residensi Pudu Alam Rekreasi setinggi 47 tingkat, sekali gus menjadikannya arca gantung tertinggi di bangunan kediaman di Malaysia.
Lebih mengejutkan apabila isterinya Shima Nekmat, memaklumkan projek yang dihasilkan di Nizamsculpture Studio itu menelan kos perbelanjaan mencecah RM1 juta berikutan aspek-aspek keselamatan awam yang menjadi keutamaan.
“Ini kerana bahan utama yang digunakan untuk projek ini adalah winch (sejenis peralatan mengangkat muatan berat) yang diletakkan di tingkat paling tinggi (di bangunan) untuk gantungkan arca-arca itu. Winch sahaja nilainya melebihi RM100,000 kerana kita mengimportnya dari luar negara. Kabel-kabelnya (untuk arca) itu pun kita import dari Jerman dengan kos melebihi RM40,000.
“Apabila kita sebut mengenai keselamatan, kita tidak boleh berkompromi. Perlu menggunakan bahan-bahan yang berkualiti,” katanya yang turut memaklumkan projek pembinaan arca itu mengambil masa kira-kira satu tahun untuk disiapkan.
Shima yang juga merupakan Penasihat Perniagaan Nizamsculpture Studio berkata projek itu adalah antara projek terbesar pernah dilaksanakan suaminya selain arca ikonik, iaitu sebuah patung berwarna yang diberi nama ‘Togetherness’ yang kini berada di sekitar Menara Naza, Taman Platinum KLCC.
Menurutnya Nizam yang merupakan alumni jurusan seni halus dari LimKokWing University sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah termasuk Best Sculpture Provider 2021 oleh NiagaTimes bagi kategori Excellence World Award dan Singapore Business Review 2022.
“Aspirasi kita adalah untuk mewujudkan satu hub di Nizamsculpture Studio agar pelajar boleh lakukan latihan industri. Kerana pelajar aliran seni ini memerlukan hub untuk mereka lakukan hasil seni seperti pembinaan arca dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu Senator Dewan Negara Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata industri dan bakat seni tempatan perlu diangkat bagi mendepani gelombang persaingan budaya popular dari negara luar yang dilihat semakin menenggelamkan budaya seni negara.
Armand mengucapkan tahniah kepada Pengarah Urusan Nizamsculpture Studio, Nizam atas kejayaan menghasilkan arca berkualiti tinggi sekali gus mencipta sejarah di dalam Malaysia Book of Records sebagai arca gantung tertinggi di bangunan kediaman.
“Kejayaan ini juga menepati visi dan misi Keluarga Malaysia untuk melahirkan rakyat yang memiliki daya pemikiran kreatif dan inovatif yang tinggi. Saya harap, pencapaian ini akan terus melahirkan dan menggalakkan lebih ramai bakat pengkarya arca tempatan sekali gus memartabatkan industri seni khususnya seni arca negara,” katanya. – TVS