KOTA SAMARAHAN, 20 Jun : Inisiatif penubuhan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Ahad bakal menjadi pelengkap kepada pembangunan ‘missing link’ yang sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, penubuhan agensi tersebut adalah penting bagi membantu menyelaras pertumbuhan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Kita akan menyelaraskan semua pembangunan atau aktiviti yang memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, air, elektrik, telekomunikasi dan sebagainya.
“Ia juga melibatkan pembangunan seperti Kampung Tradisi, Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS),” katanya.
Tambah Len, penubuhan agensi baharu juga adalah penting untuk memfokuskan keunikan tersendiri yang terdapat di kawasan-kawasan yang tertentu.
Selain itu, agensi berkenaan turut memainkan peranan dalam menyelaraskan pembangunan projek supaya projek pembangunan tidak bercanggah dengan projek pembangunan yang lain.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini hari ini.
Di majlis tersebut, beliau telah menyerahkan Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri kepada seorang penduduk dari Kampung Bangka Semong.
Pada masa yang sama, beliau turut menyerahkan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (Pertanian) kepada 82 penerima dan seramai 441 individu menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (Kampung Tradisi).
Seramai 154 individu pula menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) SPK.
“Setakat 31 Mei 2022, sebanyak 54,551 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 167,495 ekar bagi pengeluaran Surat Hakmilik Tanah Di Bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya. – TVS