KUCHING, 20 Jun : Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Sarawak Shell Bhd (Shell) dan PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) Thailand kini dalam proses memuktamadkan cadangan mengkomersialkan projek rizab gas luar persisir Sarawak dengan nilai pelaburan sebanyak RM52.2 billion.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak yakin pelaburan berkenaan akan mencetuskan kesan spin-off yang besar kepada sosio ekonomi negeri ini.
Beliau berkata, ia sekaligus mewujudkan banyak peluang perniagaan serta pekerjaan berkemahiran berpendapatan tinggi.
“Misalnya, di Sama Jaya High-Tech Park, Kuching sebanyak 98 peratus daripada 14,600 tenaga kerja adalah merupakan rakyat Sarawak.
“Pada tahun lepas, sejumlah RM684 juta telah dibayar sebagai gaji. Manakala nilai spin-off kepada ekonomi tempatan dianggarkan bernilai RM607 juta.
“Di Taman Perindustrian Samalaju Bintulu pula, projek itu telah mewujudkan sebasnyak 7,800 peluang pekerjaan dalam industri intensif tenaga, di mana 76 peratus adalah anak Sarawak. Pada 2021, sebanyak RM425 juta pendapatan telah dijana dengan nilai ekonomi dianggarkan RM4.6 billion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Tritahunan Ke-15 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam.
Sementara itu katanya, dalam sektor minyak dan gas pula, PETRONAS dan Kerajaan Sarawak telah menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) untuk memastikan peningkatan penyertaan Sarawak dalam industri minyak dan gas di peringkat huluan dan hiliran.
“Kita juga akan terus melaksanakan apa yang termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 di bawah bidang kuasa Sarawak,”katanya. -TVS