TAWAU, 20 Jun : Dua lelaki tempatan ditahan ketika melakukan urusan jual beli dadah seberat enam kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM216,000 di Bandar Sri Indah, dekat sini pada 14 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Husin berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 30 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.55 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik , Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Baca >>> Pusat hiburan diserbu, 21 suspek diberkasÂ
Menurutnya, polis berjaya merampas satu kotak gabus yang mengandungi enam bungkusan tertera tulisan ‘Ecological Rice’ dan pemeriksaan mendapati di dalamnya mengandungi ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Tangkapan ini dibuat setelah kedua-dua suspek melakukan tansaksi jual beli dan dadah ini dirampas daripada tangan salah seorang suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.
Jasmin berkata, kedua-dua suspek ini dipercayai sindiket yang giat menjalankan aktiviti jenayah dadah.
“Hasil siasatan tangkapan pada kali ini tidak ada kaitan dengan kes dadah sebelum ini namun semakan jenayah lampau mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai kesalahan di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.
Baca >>> Kawasan hutan jadi ‘sarang’ dadah di Betong
Kedua-dua suspek kini masih ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut beliau berkata, jumlah rampasan dadah pada kali ini boleh digunakan 40,000 orang penagih sekiranya terlepas ke pasaran dan dipercayai dadah ini dibawa masuk dari luar untuk pasaran tempatan. – TVS