KUCHING, 19 Jun : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu komponen utama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mentadbir negeri ini akan memfokuskan usaha melahirkan modal insan berkualiti tinggi membabitkan bidang teknikal.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Sayap Bumiputera, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang baharu, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, langkah berkenaan penting terutamanya bagi bidang kerja yang mempunyai pelbagai cabaran.
Bagi menyokong usaha berkenaan, beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak berkata, antara cabaran yang perlu diatasi ialah berkenaan tahap pendidikan.
“PBB akan berusaha mengubah kaedah pendidikan ke arah yang lebih mudah dan meningkatkannya, ini kerana Sarawak sudah dikenali di mata dunia dalam beberapa bidang baharu,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Tritahunan PBB Ke-15 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hazland juga menegaskan, kerajaan akan memperjuangkan peningkatan taraf ekonomi rakyat di negeri ini berdasarkan beberapa pelan tindakan yang diperkenalkan.
“Kita mempunyai beberapa strategi termasuklah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang memakan masa tujuh tahun.
“Peningkatan taraf ekonomi rakyat yang disasarkan meliputi seluruh Sarawak, bukan kawasan tertentu sahaja,”katanya.
Sementara itu, beliau hari ini diumumkan menerima undian tertinggi sebanyak 876 undi pada pemilihan 16 ahli MT Sayap Bumiputera PBB hari ini.
Ditanya media mengenai keputusan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut secara ringkas berkata, bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk mengisi senarai berkenaan. -TVS