Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Parti politik dicadang tubuhkan sekolah demokrasi latih pemimpin belia

KUCHING, 19 Jun: Sesebuah parti politik akan menjadi lebih relevan sekiranya mempunyai sekolah demokrasi untuk melatih kepimpinan muda.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sekolah berkenaan kelak akan dapat menjadi medan pemimpin belia menyalurkan idea bernas, berfikir secara kritikal dan mampu berhujah berdasarkan fakta.

Kata beliau, parti yang tidak menubuhkan sekolah demokrasi berdepan kemungkinan akan ketinggalan serta seterusnya ketandusan pemimpin pelapis yang berkaliber.

“Parti politik yang mempunyai pemimpin muda berkaliber akan berupaya untuk menarik ahli belia itu untuk menyertai politik.

“Bagaimanapun sekiranya belia yang menyertai politik ini tanpa sekolah demokrasi, mereka tidak akan menguasai subjek, demokrasi politik dan masyarakat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh TVS hari ini.

Beliau mengulas perkembangan orang muda dalam gerakan politik serta Persidangan Tritahunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 yang berakhir hari ini.

Antara perkembangan menarik berhubung proses meremajakan parti yang dilihat ialah menerusi langkah PBB melancarkan Gerak 1828 PBB yang bertujuan untuk menarik penyertaan belia ke dalam parti politik terbesar di Sarawak ini.

Yang Dipertua PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada majlis perasmian semalam secara terbuka turut menjemput belia dalam lingkungan usia 18 hingga 28 menyertai parti itu.

Menurut Abang Johari ini kerana PBB mampu menyediakan platform dan masa depan yang lebih baik kepada kumpulan berkenaan berbanding sekiranya mereka memilih pembangkang.

Mengulas lanjut tentang bentuk sekolah demokrasi yang dicadangkan, Awang Azman yang juga Ahli Akademik di Universiti Malaya berkata, sebelum ini sudah ada parti politik terutamanya di Semenanjung Malaysia yang menyediakan ruang kepada belia untuk terlibat dalam politik malahan memberi peluang menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri.

“Bagaimanapun untuk melihat keberkesan sekolah politik ini, kita memerlukan modul tertentu untuk memastikan anak muda ini faham tentang konsep-konsep asas dalam politik,”katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan pengenalan beberapa kategori termasuk pelajar universiti, pekerja atau kategori yang berumur 18 hingga 19 tahun.

“Sekolah demokrasi merupakan perkara serius yang perlu dipertimbang untuk diwujudkan kerana tanpanya sesebuah parti politik akan beransur-ansur kehilangan kepimpinan muda,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan