KAMEK anak Sarawak, kod tengah nombor kad pengenalan ialah 13.
Sebagai rakyat Bumi Kenyalang, sudah pasti penulis sangat berbangga dengan negeri kita yang kaya dengan budaya, warisan dan kepelbagai kaum di sini yang menjadi kekuatan kita.
Saban tahun sejak 1998, Kerajaan Sarawak menganjurkan festival muzik yang telah berkembang menjadi festival antarabangsa, yang dimaksudkan ialah Rainforest World Music Festival (RWMF).
Penulis mahu jujur di sini kerana walaupun lokasi penganjuran RWMF di Kampung Budaya Sarawak terletak hanya kira – kira 26 kilometer (km) sahaja dari rumah di Petra Jaya, penulis tidak pernah hadir acara berkenaan.
Tahun ini sedikit berbeza apabila bertugas sebagai wartawan di TVS, penulis diarahkan meliputi RWMF, jadi mahu tidak mahu, harus berada di lokasi untuk memberikan laporan kepada bilik berita.
Jika ada yang bertanya mengapa tidak hadiri RWMF sebelum ini termasuklah ketika sebelum zaman pandemik ialah kerana penulis seorang yang tidak begitu gemar berada di tempat sesak.
Nama pun konsert, sudah pasti ribuan orang yang akan datang untuk menonton persembahan menarik disajikan.
Berbalik kepada pengalaman ‘cover’ RWMF 2022, kehadiran penulis pada hari pertama Jumaat lepas memberi persepsi baharu.
Ini kerana penonton bukanlah sekadar datang menyaksikan persembahan semata – mata sebaliknya turut mengambil peluang mempromosikan budaya masing – masing menerusi busana tradisi yang dipakai.
Saya terpegun melihat orang ramai dari pelbagai negara yang berpakaian unik yang jarang dilihat di Kuching.
Masing-masing datang dengan rakan, tidak kurang ada yang datang membawa anak mereka untuk merasai kemeriahan festival muzik yang telah dua tahun terhenti akibat COVID-19.
Kemeriahan RWMF 2022 semestinya tidak terhenti di pintu masuk sahaja, kerana suasana meriah dapat dirasai malah semakin rancak ketika saya menghampiri pentas konsert.
Saya mengambil keputusan untuk duduk jauh sedikit dari pentas bagi mengelak kesesakan orang ramai.
Namun tempat itu juga strategik kerana pengunjung tidak ramai malah mampu melihat persembahan di pentas utama tanpa halangan.
Kedamaian itu hanya dirasakan sekejap sahaja kerana tidak berapa lama selepas itu, ‘territory‘ saya mula dibanjiri pengunjung lain.
Bagaimanapun, sebaik sahaja konsert bermula, segala kerisauan bersesak sesak dengan orang ramai hilang kerana fokus mula diberikan kepada aksi -aksi artis yang bersilih ganti membuat persembahan.
Pemuzik tradisional tempatan, Jerry Kamit And Friends diberi penghormatan membuka tirai konsert malam berkenaan.
Persembahan mereka mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Antara persembahan lain yang turut menarik minat saya ialah kumpulan dari Australia iaitu BluGuru.
Hidangan mereka kreatif kerana menggabungkan elemen muzik Country dan Bollywood.
Persembahan mereka berjaya mencuri hati pengunjung lain termasuk saya yang larut dengan melodi indah ditampilkan BluGuru.
Konsert RWMF padah hari pertama tamat kira-kira jam 11.30 malam dengan persembahan Chinese 24 Drums sebagai penutup tirai.
Masa bergulir dengan pantas dan seperti penonton lain, I want more namun segala peraturan yang ditetapkan harus dipatuhi.
Menjejak kaki dengan perasaan tidak selesa namun pulang dengan rasa yang berbeza pada pengalaman pertama RWMF penulis.
Yang pasti, penulis berharap ini bukan kali pertama, kerana ya, penulis mahu menonton lagi RWMF pada tahun depan.-TVS