JAKARTA, INDONESIA 17 Jun : Jaguh badminton lelaki negara, Lee Zii Jia melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2022 selepas menumbangkan Loh Kean Yeaw dari Singapura dalam aksi suku akhir di stadium Istora Senayan, hari ini.
Begitupun laluan Zii Jia yang juga pemain ranking kelima dunia itu untuk mara tidak mudah apabila dipaksa bekerja keras dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 65 minit.
Menang set pertama dengan keputusan 21-16, Zii Jia tumbang set kedua kepada Kean Yeaw dengan catatan 18-21.
Aksi set ketiga lebih mendebarkan apabila juara dunia itu menampilkan permainan yang lebih kemas namun Zii Jia mengotakan janjinya untuk melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan ini apabila menutup permainan dengan keputusan 22-20.
Bekas juara All England itu berkata, dia berpuas hati apabila dengan persembahannya pada hari ini.
“Memang saya berpuas hati meskipun diberi tentangan sengit oleh lawan namun saya tetap tidak mengalah,”katanya kepada TVS selepas perlawanan.
Pada separuh akhir esok, Zii Jia akan berdepan dengan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen yang menewaskan jaguh tuan rumah, Anthony Ginting dengan keputusan 21-13, 19-21, 21-9.
Sementara itu, turut melangkah ke separuh akhir beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menang tiga set mengatasi gandingan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan.
Pemenang gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu menang 14-21, 21-12, 22-20.
Esok mereka akan bertemu wakil China, Liu Yu Cheng-Ou Xuan Yi yang mengatasi Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.-TVS