SANDAKAN, 18 Jun : Kementerian Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan Sabah sedang berusaha untuk menarik lebih banyak penerbangan terus dari Filipina ke Sandakan.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Filipina dan memohon pertimbangan perkara itu.
Katanya, antara langkah yang boleh dilakukan ialah dengan membuka penerbangan sama ada dari Davao, Cebu dan Zamboanga secara terus ke Lapangan Terbang Sandakan.
“Kita tidak mahu hanya Kota Kinabalu sahaja yang menjadi tumpuan pelancongan di Sabah sedangkan Sandakan juga merupakan destinasi terbaik sekiranya mahu menikmati keindahan alam dan hidupan liar seperti orang utan dan beberapa pulau yang menjadi tempat persinggahan penyu,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Papan Informasi Jejak Warisan Sandakan 2022 di sini hari ini.
Sekiranya lebih banyak penerbangan masuk antarabangsa di bandar ini diwujudkan, ia sejajar dengan hala tuju Kerajaan Sabah untuk memastikan Lapangan Terbang Sandakan dan juga Lapangan Terbang Tawau diangkat sebagai lapangan terbang antarabangsa.
“Sebelum ini saya juga mengemukakan cadangan serupa berhubung penerbangan antarabangsa bandar lain di Sabah ketika bertemu dengan seorang Menteri Kanan Singapura,”katanya.
Mengenai Papan Informasi Jejak Warisan Sandakan 2022, Jafry menyambut baik usaha jawatankuasa bertanggungjawab kerana memperbaharui papan informasi itu kerana ia bukan sahaja untuk sektor pelancongan, malah demi pengetahuan generasi akan datang.
“Saya yakin dan percaya usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Kita akan pastikan jejak warisan seperti ini dijaga untuk dihayati dan dihargai oleh pelancong dan masyarakat setempat,” jelasnya.
Papan informasi itu mempamerkan peta lokasi dan maklumat asas mengenai 10 tapak tinggalan sejarah yang terdapat di sekitar daerah ini. – TVS