KUCHING, 18 Jun : Menjelang Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) telah menganjurkan beberapa program di bawah CENTEXS Digital Tech Event.
Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Syeed Mohd. Hussien Wan Abdul Rahman berkata, program yang dilaksanakan terbahagi kepada beberapa segmen menarik antaranya Simposium Antarabangsa Transformasi Industri Digital, Hackathon Transformasi Industri Digital Nasional, Akademi Digital bersama industri dan Akademi Digital dengan komuniti.
Katanya, CENTEXS juga telah menganjurkan simposium antarabangsa pada 7 dan 8 Jun lepas dengan kerjasama rakan kongsi global terkemuka.
“Antara yang berkongsi kepakaran pada simposium berkenaan termasuklah Huawei, Bosch Rexroth dan NexT Schlumberger. Program ini bertujuan untuk mewujudkan ruang untuk berkongsi kemajuan berkaitan dalam sains dan teknologi dalam semua aspek transformasi industri digital,” katanya.
Beliau turut memberitahu, CENTEXS menerima penyertaan sebanyak 2,600 orang peserta untuk beberapa program itu sekaligus melebihi sasaran.
“Sasaran kita ialah 1,500 orang namun jumlah yang hadir secara fizikal dan dalam talian.
“Kejayaan ini dapat kita capai berkat kerjasama CENTEXS dengan agensi-agensi yang terlibat,” katanya.
Program Hackathon pula bertujuan untuk mencetuskan bakat dalam kalangan belia Sarawak dalam kepintaran digital dan berinovasi tinggi.
Seterusnya, di bawah Akademi Digital CENTEXS, peserta didedahkan dengan teknologi digital terkini menerusi program latihan pendek.
CENTEXS komited untuk menyokong wawasan Sarawak 2030 kerajaan negeri melalui kerjasama strategik dengan rakan kongsi dan pemain industri. – TVS