KUCHING, 18 Jun : Bertemakan sambutan Hari Gawai Dayak, Pertandingan Little Kumang and Keling 2022 dilihat menjadi wadah terbaik untuk mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat tempatan di bandar raya ini.
Pertandingan anjuran Pusat Membeli – belah CityOne itu berlangsung meriah dengan disertai kanak-kanak daripada pelbagai kaum termasuk Melayu,Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.
Pengurus Projek CityOne Megamall, Pat Govern berkata, acara itu dianjurkan bertujuan untuk mempromosikan budaya pelbagai etnik Dayak di Sarawak terutamanya kepada kanak-kanak sejak peringkat awal.
“Melalui pertandingan ini kita dapat membantu meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak untuk membuat persembahan di khalayak umum sekaligus memupuk minat mereka untuk menyarungkan pakaian tradisional Dayak yang mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri,”katanya kepada TVS selepas pertandingan itu hari ini.
Katanya, pertandingan itu mula dianjurkan sejak 2015 dan mendapat sambutan yang sangat memberansangkan daripada masyarakat di sekitar Kuching.
Pertandingan kali ini menyaksikan Aufa Najwan Sabri dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama manakala Mohd. Akid Davani di tempat kedua dan Aldryn Ambang Kurau (ketiga) bagi kategori Litte Keling 2022.
Erka Isabel pula dinobatkan sebagai juara Little Kumang diikuti Putri Eryna Abdul Hakim di tempat kedua dan Delaney Ivalicha melengkapkan senarai tiga peserta terbaik.
Kesemua pemenang membawa pulang trofi, sijil dan hadiah sampingan sumbangan CityONE Megamall, Tadika Sang Kancil dan Tiara Management. -TVS