KAPIT, 18 Jun : Empat pintu kediaman di Rumah Panjang Tr. Masam Unyat di Ulu Terusa, Jalan Rimbunan, dekat sini rosak teruk akibat kejadian tanah runtuh semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Penolong Penguasa Bomba Timoty Barat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu pada pukul 9.08 pagi.
Katanya, sepasukan empat orang anggota dari BBP Kapit telah dikerahkan untuk memantau keadaan di rumah panjang itu yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari balai.
“Anggota bomba mendapati terdapat pergerakan tanah dikesan di bahagian belakang rumah panjang berkenaan yang merupakan kawasan berbukit,”katanya ketika dihubungi TVS.
Ekoran kejadian itu katanya, pita keselamatan dipasang berhampiran kawasan runtuhan.
“Kami juga menasihatkan penduduk di situ supaya berpindah sementara ke rumah saudara mara atau pusat pemindahan.
“Bagaimanapun, mereka merayu supaya tidak dipindahkan kerana enggan meninggalkan kediaman tanpa pengawasan,”katanya.
Untuk rekod, rumah panjang itu mempunyai lapan buah pintu bilik yang didiami seramai 35 penghuni. – TVS