KUCHING, 18 Jun: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) akan mengetengahkan penggunaan teknologi imersif realiti lanjutan (XR) dalam bidang pendidikan bagi mencapai transformasi digital.
Pengajar Kanan Akademi CENTEXS, Bebe Yanti Mohamed berkata, Sarawak memiliki potensi yang besar untuk mengembangkan teknologi imersif ke sektor pendidikan.
Katanya, bagi memastikan transformasi digital tercapai, tenaga pengajar di CENTEXS juga akan diberikan pendedahan bidang berkenaan sebelum diperluaskan kepada pelajar.
“Mereka akan dapat menggunakan teknologi ini dalam sesi pengajaran dan pembelajaran supaya ada kepelbagaian dalam penyampaian maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Bengkel Pengenalan kepada Pembangunan Teknologi Imersif XR di sini hari ini.
CENTEXS juga berhasrat untuk menambah baik pendekatan pendidikan dengan menggunakan platform yang akan dibangunkan.
Mengulas lanjut, Bebe Yanti berkata, penggunaan teknologi imersif XR dalam pendidikan akan memudahkan proses penyampaian maklumat kepada pelajar.
“Kita boleh berkongsi kaedah yang lebih jelas untuk memperkenalkan sesuatu modul atau item yang ingin diajar di dalam kelas,”katanya.
Tambahnya, CENTEXS akan bekerjasama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk memberikan pendedahan kepada lepasan pelajar tentang penggunaan teknologi imersif XR dalam sesi pengajian mereka.- TVS