KUCHING, 18 Jun : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) komited untuk memperkasakan kemampuan belia Bumiputera di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pentadbiran tertinggi PBB ketika ini sangat mengalu-alukan ‘kedatangan’ sayap belia PBB untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Katanya, belia dalam lingkungan umur 18 hingga 28 sangat dialu-alukan menyertai parti itu.
“Kita mahu kumpulan belia kerana PBB menyediakan masa depan untuk mereka, kita tubuhkan dana berdaulat untuk mereka termasuklah yang belum lagi lahir, biar kita bekerja hari ini untuk mereka, sebab itu kita tidak takut dan meletakan keyakinan yang tinggi kerana golongan ini akan bersama kita,”katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-15Â PBB di sini hari ini.
Pada 9 Januari lalu, Abang Johari memaklumkan PBB akan meminda perlembagaannya bagi mewujudkan satu lagi sayap baharu yang menumpukan kepada golongan belia berusia antara 18 hingga 28 tahun.
Menurut Abang Johari perancangan itu bertujuan untuk menubuhkan sebuah gerakan yang lebih baik dan terancang dan mampu memastikan setiap lapisan umur itu tidak terpinggir dalam pembangunan. – TVS