KUCHING, 17 Jun : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu mempersiapkan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang dijangka akan berlangsung pada bila -bila masa.
Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini termasuk persiapan di sayap Wanita dan Pemuda PBB.
“Pastikan kita menang besar dalam usaha untuk membela Sarawak.
“Oleh itu, saya berharap Sayap Wanita dan Pemuda dapat belajar daripada pengalaman lepas,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Agung ke-15 Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB sempena Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-15 parti itu di sini.
Sehubungan itu, Douglas Uggah turut meminta setiap sayap supaya memperbaiki kelemahan masing – masing menjelang PRU-15.
Meneruskan ucapannya, Timbalan Premier Sarawak itu turut menyentuh ‘soal kesetiaan’ kepada parti.
“Saya berharap agar Sayap Wanita dan Pemuda terus kekal setia kepada parti PBB.
“Dalam kita menyiapkan diri untuk PRU yang datang, saya menaruh sepenuh kepercayaan agar Wanita dan Pemuda dapat berkhidmat dengan penuh semangat, berdedikasi dan berintegriti,”katanya. -TVS