KUCHING, 17 Jun : Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) disaran supaya menampilkan budaya politik matang dalam mendekati pengundi muda.
Timbalan Yang Dipertua parti, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan berkenaan seperti yang dibawa oleh Yang Dipertua PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sangat penting dalam usaha ‘memikat’ kumpulan berkenaan.
Sehubungan itu katanya, PBB tidak boleh membiarkan mereka dipikat oleh pihak lain terutamanya pembangkang.
“Masa depan mereka bersama kita,”katanya.
Douglas Uggah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Agung ke-15 Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, setakat 31 Disember 2021, Sarawak merekodkan penambahan sebanyak 675,077 pemilih baharu.
“Sebanyak 20 peratus terdiri daripada golongan berumur 19 dan 20 tahun manakala 45 peratus berada pada kelompok umur 21 hingga 29 tahun,”katanya.
Data terkini juga menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu menyaksikan sebanyak 66 peratus pemilih baharu berusia 18 hingga 29 tahun.
“Oleh itu kita perlu memastikan golongan ini menyertai PBB.
“Sekiranya mereka bukan Bumiputera, terdapat parti komponen lain di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang boleh disertai, yang penting bawa mereka ke program kita,”katanya. -TVS