SEMPORNA, 17 Jun : Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM380 ribu untuk pembaikan kemudahan dan mewujudkan Pusat Bersalin Alternatif (ABC) di Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum Jenis 4.
Timbalan Menteri Kesihatan l, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited memperbaiki dan memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat khususnya di kawasan pedalaman dan pulau.
Menurutnya, kemudahan kesihatan yang telah ditambah baik itu akan memberi manfaat kepada lebih 40 ribu penduduk di pulau itu kerana tidak perlu lagi ke tanah besar Semporna untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan termasuk rawatan bersalin normal tanpa risiko.
“Peruntukkan itu untuk membuat pembaikan paip-paip yang rosak, pendawaian diperbaiki dan juga untuk menyediakan satu unit ABC bagi memudahkan mereka yang berada di sini untuk bersalin tanpa perlu ke tanah besar, Semporna,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum di sini, hari ini.
Sementara itu Pegawai Kesihatan Daerah Semporna, Dr. Shameer Khan Sulaiman berharap Hospital Semporna boleh dinaiktaraf sebagai hospital pakar pada masa akan datang untuk memberikan perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk.
“Wujud keperluan untuk menaiktaraf Hospital Semporna menjadi hospital pakar kerana peningkatan kadar penduduk dan kedatangan pelancong yang juga semakin meningkat,” katanya.
Pada ketika ini katanya, dianggarkan sebanyak 40 kelahiran direkodkan setiap bulan di pulau berkenaan dan tentunya kemudahan unit ABC itu kelak boleh menjimatkan masa, perbelanjaan dan meringankan beban penduduk. – TVS