Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebahagian pengunjung menikmati persembahan menarik pada hari pertama Konsert Rainforest World Music Festival (RMWF) malam ini. Foto Faitullah Morni.

Hujan rahmat di malam pertama pesta muzik terbesar Sarawak

KUCHING, 17 Jun : Hujan berterusan sejak tengah hari tadi umpama hujan rahmat yang  mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Bumi Kenyalang ini untuk menyaksikan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) 2022 di Santubong dekat sini malam ini.

Festival tahun ini yang bertemakan ‘25th Legendary Rainforest Celebration’, umpama kisah kebangkitan  Puteri Santubong dari tidur, setelah dua tahun dunia dilanda pandemik COVID-19 yang menyebabkan segala aktiviti terhenti.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengunjung datang dari dalam negara, manakala jumlah kehadiran pengunjung luar negara tidak begitu memberangsangkan.

Begitupun, pengunjung yang hadir secara fizikal di festival muzik terbesar di Sarawak ini rata-ratanya tidak sabar untuk menonton persembahan yang disajikan terutamanya oleh artis tempatan.

Bagi penulis majalah Gaya Travel Hasif Hamsyari, antara artis tempatan yang ingin beliau saksikan ialah Alena Murang dan At Adau.

“Ini antara festival yang dinanti-nantikan terutama selepas bertahun-tahun tidak dapat menghadiri mana-mana festival seperti ini. Banyak yang saya dengar tentang festival ini daripada rakan-rakan,” katanya kepada Bernama.

Turut teruja untuk menyaksikan persembahan alunan muzik tradisional ialah pengunjung luar Gemelos Vlajero, 24, yang berasal dari Sepanyol.

Menjadikan Borneo sebagai destinasi pilihan, Vlajeros berkata kunjungannya ke Sarawak kali ini dianggap serampang dua mata kerana selain berpeluang menghadiri RWMF, beliau dapat menikmati keindahan flora dan fauna yang terdapat di negeri ini.

“Ini adalah kali pertama saya berada di Malaysia dan semestinya Sarawak. Saya telah menonton sedutan ringkasan RWMF dan ingin menikmati persembahan tradisional di sini.

“Saya bersama kembar saya tiba di sini pada 14 Jun (Selasa). Borneo adalah salah satu tempat yang kami ingin lawati di dunia kerana hidupan liar dan oleh kerana saya tidak tahu banyak tentang perayaan itu, maka atas sebab inilah saya berada di sini.

Baru-baru ini dalam sidang media RWMF, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata berikutan beberapa negara masih melaksanakan sekatan perjalanan, dijangka sejumlah 12,000 pengunjung menghadiri festival ini.

Katanya pengunjung yang tidak dapat hadir secara fizikal boleh menyaksikan RWMF secara maya  melalui tiket berharga RM25, sementara daripada harga tiket yang terjual, RM10 akan disumbangkan untuk Program ecoGreenPlanet yang merupakan inisiatif penghijauan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) melalui penanaman 4,500 pokok bakau.

RWMF 2022 menampilkan penghibur dari pelbagai negara termasuk China, Australia, India, Singapura, Indonesia, Kanada, Estonia, Itali, Jepun, Madagascar, Amerika Syarikat dan Vietnam yang menyaksikan lebih ramai persembahan individu berbanding sebelum ini secara langsung di pentas serta secara maya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan