JAKARTA, (INDONESIA) 16 Jun : Pemain badminton lelaki utama negara, Lee Zii Jia melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Indonesia Open 2022 selepas menewaskan pemain India, Sameer Verma di Stadium Istora Senayan hari ini.
Zii Jia, pemain ranking kelima dunia bermula baik apabila menang pada set pertama 21-10.
Pemain kelahiran Kedah itu memastikan tempat di suku akhir apabila menamatkan permainan kedua dengan keputusan 21-13 dalam aksi yang berlangsung selama 41 minit.
Ditemui TVS selepas perlawanan, Zii Jia berkata, dia cuba mengekalkan ketenangan walaupun Verma cuba bangkit di set kedua.
“Keadaan saya setakat ini semakin bagus dan berharap dapat mencapai keputusan yang lebih baik dalam pertandingan ini,”katanya.
Pada suku akhir esok, Zii Jia akan berdepan dengan pemain Singapura, Loh Kean Yeaw yang menewaskan Toma Junior Popov dengan Perancis keputusan 21-19 dan 21-19.
Sementara itu, tiga wakil Malaysia lain turut mara ke suku akhir menerusi kemenangan dalam aksi beregu.
Beregu campuran Chen Tang Jie-Valeree Siow mendapat tempat ke suku akhir selepas pasangan tuan rumah, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti menarik diri.
Sementara itu Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei turut mara selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie dengan keputusan 21-19, 21-19.
Pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara selepas bertarung tiga set dengan wakil Perancis.
Pemenang gangsa Olimpik itu menang set pertama 21-17 namun tumbang 16-21 pada permainan kedua.
Mereka kemudiannya menunjukkan penguasaan pada set penentuan apabila mudah mengalahkan lawan dengan keputusan 21-6. -TVS