KUCHING, 16 Jun : Lebih lapan tahun lepas, wanita ini berdepan kehilangan yang cukup besar dalam hidupnya.
Suaminya, Asisten Superintendan (ASP) Michael Padel terkorban dalam kes serangan hendap oleh penceroboh Sulu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah.
Tragedi berdarah itu turut mengorbankan lima lagi wira negara yang bertugas di kampung berkenaan.
Hari ini, Jabah Mingku Voon atau dikenali Lady Jay memberitahu, dia sudah bangkit untuk meneruskan hidup bersama anaknya, Macluie Michael.
“Selepas kejadian itu, saya mengambil masa yang lama untuk pulih dan tidak kuat pada mulanya.
“Namun hari ini, saya mahu memandang ke hadapan, fokus kepada perniagaan kraf tangan yang semakin berkembang,”katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.
Lady Jay kini bergelar usahawan dengan mengeluarkan produk kraf tangan Borneo malah turut menerapkan elemen tiga dimensi (3D) dalam penciptaannya.
Katanya, untuk memastikan produk kraf tangannya ‘tidak ketinggalan zaman’, dia perlu memahami trend terkini dan seterusnya mengaplikasi dalam penghasilan produknya.
“Saya juga menggabungkan cetakan lace serta manik seramik yang mampu menambah nilai pada produk,”katanya.
Katanya, bermula sekadar suka – suka, namun dia menyedari produk kraf tangan seperti beg mempunyai pasaran yang besar.
“Saya juga melakukan transformasi terhadap penghasilan bakul anyaman dengan menggunakan tali plastik, cetakan lace dan menerapkan elemen 3D .
“Kita mesti mengikut peredaran zaman, apa kehendak pengguna sekarang namun harus kekalkan identiti Borneo. Itulah yang saya lakukan,”katanya.
Dedahnya, dia mula serius dalam perniagaan itu pada tahun lepas ketika pandemik gelombang kedua COVID-19.
“Apabila kerajaan menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak waktu dihabiskan di rumah dan dari situ saya belajar menghasilkan kraf tangan,”katanya.
Ceritanya, walaupun baharu setahun jagung bertapak di dunia perniagaan, namun produk bakul jenama Lady Jay semakin mendapat sambutan di pasaran.
“Saya pernah menerima tempahan dari Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin,”katanya.
Sambil tersenyum puas, Lady Jay berkata, setakat ini dia sudah menjual ribuan unit beg dan bakul berkenaan.
“Malah pada bulan tertentu, hasil jualan mampu mencapai RM36 000, jadi memang ada potensi untuk terus berkembang,”katanya yang menerima tempahan sekitar 100 beg sebulan ketika ini.
Katanya, dia bersyukur kerana usaha kerja keras membuahkan hasil walaupun pada mulanya dia kurang yakin produknya akan diminati ramai.
“Sehingga kini produk saya juga mendapat permintaan dari luar Sarawak termasuk di Sabah, Semenanjung Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Australia,”katanya. -TVS