KUCHING,16 Jun : Sarawak Gastronomy Incubator (SAGO) yang julung kali diadakan bermula tahun ini merupakan platform terbaik untuk melahirkan usahawan makanan dari Sarawak yang mempunyai ilmu keusahawanan yang lengkap.
Rakan Kongsi Pengurusan Retrospective Discovery LLP, Arif Abdul Rahman berkata, SAGO dianjurkan dengan menekankan elemen kemahiran ilmu pendigitalan selari dengan era teknologi pada masa kini.
Katanya, aspek pendigitalan menjadi fokus utama kerana penganjur percaya selepas sahaja pandemik, ilmu perniagaan dalam talian menjadi keperluan penting tanpa mengira sektor mana termasuk industri makanan.
“Melihat pentingnya ilmu pendigitalan ini, kita sebagai penganjur telah menjalinkan kerjasama dengan Foodpanda, mereka akan membantu melatih peserta bagaimana boleh menjadikan model perniagaan baharu yang mereka reka untuk dipasarkan secara dalam talian,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Sago Incubator 2022 yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn.
Ujar beliau, sebanyak 30 pemohonan telah diterima pihak penganjur namun hanya sembilan peserta yang terpilih dan akan mengikuti program berkenaan yang akan dianjurkan selama 11 minggu.
“Kita berharap melalui program yang kita anjurkan ini, ia mampu mampu melahirkan usahawan yang mengusahakan produk tempatan dengan inovasi mereka sendiri dan seterusnya mampu bersaing bukan sahaja di dalam negara malahan di peringkat antarabangsa juga,”katanya.-TVS