KUCHING, 16 Jun: Pindaan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak kini sedang dimuktamadkan sebelum dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan dan kelulusan.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala berkata, melalui pindaan berkenaan, Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak akan selari dengan Akta Pekerjaan 1955 yang dipinda baru-baru ini.
Katanya, sekiranya diluluskan, pindaan tersebut bakal menjamin manfaat kepada pekerja di Sarawak yang sebelum ini hanya ‘melindungi’ pekerja di Semenanjung Malaysia.
Gerawat menjelaskan, pindaan Akta Pekerjaan yang sudah diluluskan oleh Parlimen pada Mac tahun ini juga memberi kelebihan kepada pekerja di luar Sarawak.
“Bagi menikmati kelebihan dalam pindaan Akta Pekerjaan tersebut bagi pekerja di Sarawak, kita perlu meminda Ordinan Buruh Sarawak,”katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Beliau menambah, pindaan ini juga memastikan Ordinan Buruh Sarawak selari dengan Konvensyen Buruh Antarabangsa (ILO).
Ujarnya lagi, antara perkara yang bakal diterapkan dalam pindaan tersebut adalah berkaitan dengan cuti isteri bersalin dan cuti untuk suami.
“Sebahagian daripada pindaan tersebut menyentuh berkaitan dengan cuti bersalin dalam Akta Pekerjaan yang mana cuti bersalin telah ditambah kepada 90 hari dan dalam ordinan kita sekarang, pekerja hanya diberi 60 hari,”katanya.
Bagi cuti untuk suami pula katanya, Ordinan Buruh Sarawak tidak mempunyai sebarang peruntukan membabitkan perkara itu.
“Jadi melalui pindaan ini, bapa yang anaknya baharu lahir akan diberikan cuti selama tujuh hari,”katanya. -TVS