KUCHING, 16 Jun : Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kini ‘mengumumkan’ kehadirannya di aplikasi TikTok.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu menggunakan platform berkenaan untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam sukan badminton dengan pengikutnya.
Kehadiran Chong Wei turut mendapat perhatian TikTok Malaysia apabila Pengurus Operasi Strategiknya, Darren Quek mendedahkan tanda pagar #badminton mendapat tontonan 5.7 bilion.
“Ia dianggap sebagai salah satu sukan paling popular di Malaysia,”katanya menerusi kenyataan media.
Beliau memberitahu, TikTok menjangkakan orang ramai akan terus menggunakan aplikasi berkenaan untuk berkongsi detik-detik ikonik membabitkan acara sukan seperti yang dapat dilihat ketika Piala Thomas dan Sukan SEA Ke-31 di Vietnam.
“TikTok juga dijangka akan digunakan pada kempen Badminton Terbuka Malaysia akan datang,”katanya.
Sehubungan itu, Darren berkata, pihaknya teruja apabila mendapati wira negara, Chong Wei ‘memasuki’ TikTok dan seterusnya bersatu dengan rakyat Malaysia untuk menyokong atlet – atlet Malaysia.
“Kebanyakan pengguna TikTok menjadikan platform ini sebagai alternatif untuk mempelajari kemahiran baharu. Oleh itu kami berharap dengan adanya pengguna profesional dapat memupuk semangat kesukanan,” katanya.
Sementara itu, Chong Wei berkata, dia berasa gembira menjadi sebahagian daripada komuniti TikTok kerana melihat ramai rakyat Malaysia mengikuti sukan seperti badminton.
“Walaupun ramai yang mengenali saya sebagai legenda badminton, saya tidak sabar untuk menggunakan platform itu untuk berkenalan dengan lebih ramai pengguna baharu dan menyampaikan pengetahuan saya mengenai sukan badminton melalui video pendek,” katanya lagi.
Chong Wei dijangka akan membuat penampilan pertama bersama pemain legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat secara langsung di #BadmintonLegendsLIVE menerusi aplikasi TikTok. – TVS